Sebahagian daripada pelarian yang berlindung di Kem Rohingya Cox Bazar.
Amir Abd Hamid
news@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), sekali lagi mendesak supaya penghantaran semula pelarian Rohingya di kem di Bangladesh ke negara asal, Myanmar dihentikan segera.

Ketika ini, Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi kira-kira 900,000 pelarian baru yang berlindung di negara berjiran Myanmar itu, selain di beberapa negara berhampiran termasuk Malaysia.

Presiden MERHROM Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, pengusiran secara paksa itu perlu dihentikan kerana jelas menghantar mangsa konflik menuju kematian di tempat asal yang sekali gus melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Kami menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pemimpin dunia dan komuniti antarabangsa membuka mata hati bahawa pelarian Rohingya ialah mangsa genosid.

“Kerajaan Myanmar sangat terkenal dalam propaganda apabila membabitkan layanan terhadap masyarakat Rohingya.

“Justeru, PBB, pemimpin dunia dan komuniti antarabangsa perlu berhati-hati menerima maklumat mengenai Rohingya yang disalurkan Myanmar,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, setiap maklumat diterima daripada kerajaan Myanmar mesti disemak dan disahkan sepenuhnya sebelum mengusir pelarian Rohingya pulang ke tanah asal di Rakhine.

Beliau berkata, pihaknya juga sangat terkejut dengan pengumuman pegawai kerajaan Myanmar bahawa pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh tidak akan dapat menuntut tanah mereka dan mungkin mendapati nanti bahawa tanaman mereka sudah dituai atau dijual pemerintah.

“Ini tidak masuk akal kerana Myanmar mendapat manfaat titik peluh kami sedangkan kami tidak mendapat apa-apa.

“Kami mengutuk perbuatan seperti ini. Sungguh memalukan bagi kerajaan Myanmar yang merompak tanah dan tanaman masyarakat Rohingya secara zalim,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Myanmar jujur membantu Rohingya, sepatutnya hasil tuaian tanaman milik pelarian itu boleh dihantar ke khemah pengungsi Rohingya di Bangladesh.

Zafar Ahmad berkata, terdapat kira-kira 45,000 ekar padi ditanam yang ditinggalkan oleh pelarian Rohingya dan sudah boleh dituai antara Januari sehingga kini.

“Kerajaan Myanmar akan mendapat jutaan dolar jika mereka menjual beras itu. Ia tidak beretika kerana sebenarnya ia hasil rompakan dari keringat pelarian Rohingya.

“Dalam perkembangan terbaru pula, Myanmar merancang mewujudkan kampung model untuk Rohingya.

“Apa yang kami bimbangkan ia akan menjadi kem Rohingya dan pada masa sama kami dinafikan akses untuk makanan, air bersih, perubatan, pendidikan dan sebagainya yang akhirnya kami mati secara perlahan-lahan serta senyap di kampung model tanpa keadilan,” katanya.

Beliau mendakwa rancangan menghapuskan etnik Rohingya supaya tidak wujud lagi di dunia sudah berlangsung dengan teratur oleh kerajaan Myanmar dan seterusnya pelan mengambil alih tanah, perdagangan dan pelaburan diusahakan mereka selama ini boleh dilaksanakan.

“Kami sekali lagi merayu dan menggesa PBB, pemimpin dunia dan komuniti antarabangsa untuk campur tangan dengan segera bagi menyelamatkan nyawa kami kerana kami juga manusia di dunia yang sementara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 10:30 AM