Nor Azizah Mokhtar dan Teoh Pei Ying
bhnews@bh.com.my

DUA penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol sempat menembak kamera litar tertutup (CCTV) di luar sebuah pasar raya di Sierramas Sungai Buloh sebelum melarikan wang kira-kira RM4,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi tadi, suspek menaiki sebuah motosikal dan memakai topi keledar tutup penuh muka meluru masuk ke arah kaunter bayaran dan melarikan dua laci mesin kira-kira berisi wang hasil jualan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata, salah seorang suspek turut melepaskan dua das tembakan iaitu sedas ke arah CCTV di bahagian luar pasar raya dan sedas lagi ke arah siling dalam premis berkenaan.

“Selain melarikan dua laci mesin wang mengandungi wang tunai kira-kira RM4,000, suspek turut melarikan dompet milik seorang pelanggan wanita yang kebetulan sedang membuat pembayaran di kaunter pasar raya itu.

“Ketika kejadian, terdapat tiga juruwang dan seorang pengawal keselamatan serta seorang pelanggan berada di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya,, pemeriksaan pasukan forensik menemui dua kelongsong dan dua anak peluru di tempat kejadian.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha LC digunakan suspek dipercayai nombor palsu.

“Gerakan memburu suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 8:33 PM