Fitri Nizam
am@hmetro.com.my


POLIS melumpuhkan sindiket pengedaran dadah apabila merampas 17,200 biji pil kuda dan syabu berjumlah RM318,619 dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Midin, Bukit Payung di Marang, Selasa lalu.

Dalam serbuan pada 6.30 petang, pihak polis turut menahan dua lelaki berusia 23 dan 26 tahun yang dipercayai menjadikan rumah disewa berkenaan sebagai stor menyimpan dadah sebelum diedarkan.

Selain itu, pasukan serbuan terdiri pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang itu turut menyita tiga buah kereta dan dua motosikal bernilai RM100,200.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, bekalan dadah itu disimpan dalam bilik di rumah terbabit dan pihaknya percaya sebahagian daripadanya sudah dijual berikutan penemuan wang tunai berjumlah RM22,067.

Katanya, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati sindiket kecil-kecilan itu sudah bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan pasaran di daerah Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

"Hasil serbuan di rumah terbabit, dadah itu ditemui disimpan dalam almari di sebuah bilik. Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, polis menemui 17,200 pil berwarna merah dipercayai pil kuda yang diisi dalam plastik berwarna biru.

"Selain itu, polis juga menemui dadah dipercayai syabu seberat 606.19 gram bernilai RM60,619 mengikut harga pasaran. Berdasarkan siasatan, polis percaya bekalan dadah ini diperoleh dari negara jiran untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Superintendan Roslan Tahir.

Kedua-dua suspek yang juga peniaga ikan dan buruh terbabit dipercayai menjalankan kegiatan itu secara bersama, namun polis tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan khidmat ‘pusher’.

Aidi berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah, namun peniaga ikan berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.

"Justeru, kedua-dua suspek direman selama lima hari sehingga Rabu depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 8:09 PM
Aidi (dua dari kanan) bersama Roslan (kanan) menunjukkan pil kuda dan syabu yang dirampas, hari ini. FOTO Ghazali Kori