DADAH yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


LIMA sekawan dicekup polis bersama sejumlah dadah dalam serbuan di bengkel kereta di Jalan Song Ban Kheng, Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam serbuan 11 malam itu, kesemua mereka berusia 29 hingga 51 tahun berkenaan ditahan bersama dadah bernilai RM7,192 yang ditemui di bengkel itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya menyerbu premis itu selepas memperoleh maklumat hasil risikan dan maklumat orang awam.

Beliau berkata, ketika serbuan, polis menahan dua suspek yang berada di dalam kawasan bengkel sebelum menahan tiga lagi suspek yang berada di dalam bilik bengkel.

"Ketika pemeriksaan di lakukan di dalam bengkel, polis menemui 22 peket plastik lutsinar mengandungi hablur disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 64.17 gram dan 18 keping aluminium foil diikat dengan getah dengan setiap satu foil mengandungi 10 biji pil erimin 5 dianggarkan seberat 52.05 gram.

"Selain itu, polis juga menjumpai peralatan membungkus dadah serta peralatan menghisap dadah di situ," katanya di Bukit Mertajam.

Nik Ros Azhan berkata, kesemua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, polis percaya kesemua suspek berkenaan adalah pengedar dadah di kawasan itu dan menjadikan bengkel itu sebagai tempat mereka membungkus dadah.

Menurutnya, kesemua mereka direman tujuh hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Sekyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 4:39 PM