PERAHU digunakan untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk Kampung Teh yang terputus hubungan akibat banjir. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my


BANJIR menyebabkan kira-kira 100 penduduk Kampung Teh, Mukah terperangkap apabila laluan utama keluar ke pekan Mukah ditenggelami air sejak lima hari lalu.

Selepas hampir seminggu, penduduk kehabisan bekalan makanan dan menghantar pesanan ringkas kepada pihak berkuasa malam tadi bagi memohon penghantaran bekalan makanan dan perubatan.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) segera menghantar bekalan makanan menggunakan perahu.

Jurucakap Sekretariat JPBN, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, penghantaran bekalan dilakukan hingga 1.45 pagi tadi.

"Penghantaran bekalan makanan dan perubatan menggunakan bot dari Mukah akan diteruskan hari ini," katanya di Mukah, hari ini.

Difahamkan beberapa kampung sepanjang Sungai Mukah turut terputus hubungan sejak lima hari lalu.

Sementara itu, Ismail berkata, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun hari ini berikutan cuaca baik.

Sehingga 7 pagi tadi, 3,094 mangsa daripada 947 keluarga masih ditempatkan di 14 PPS, iaitu menurun 1,350 mangsa berbanding 4,444 orang pagi semalam.

Daripada jumlah itu, Bintulu mencatat jumlah tertinggi dengan 1,183 mangsa, Sibu (1,086), Serian (575), Limbang (133), Mukah (107) dan Sarikei (8).

Jabatan Pendidikan Negeri dalam laporan pagi ini memaklumkan 48 sekolah masih terjejas akibat banjir manakala enam lagi dijadikan sebagai PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 12:58 PM