MOHAMED menunjukkan mainan kejutan elektrik kanak-kanak yang dijual secara berleluasa di pasaran.
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengharamkan penjualan permainan kanak-kanak yang boleh memberi kejutan arus elektrik.

Alat permainan yang dikenali sebagai Shock Chewing Gum itu berbentuk seperti gula-gula getah dan mempunyai kepingan getah menjulur keluar untuk ditarik.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, tinjauan CAP mendapati alat permainan itu dijual pada harga RM6 seunit di kedai permainan.

Katanya, apabila kepingan getah itu ditarik, ia akan mengalirkan arus elektrik melalui tapak tangan individu terbabit.

“Alat permainan ini juga terdapat dalam bentuk pen dan pistol yang boleh mencetuskan arus elektrik sehingga sembilan voltan.

“Pembeli mungkin fikir ia menyeronokkan, tetapi tidak bagi mereka yang mengalami kesakitan, malah ia berpotensi untuk memberi kesan sampingan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat CAP, semalam.

Mohamed Idris berkata, selain Greece dan Cyprus, sekolah di Amerika Syarikat juga sudah mengharamkan alat permainan itu.

Dilaporkan guru di Sacramento, menerima kejutan daripada pen yang diberikan pelajarnya menyebabkan dia berasa pening selama beberapa hari selain hilang upaya menggunakan tangannya.

“Selain kanak-kanak, ia tidak sepatutnya digunakan ke atas orang yang mempunyai masalah jantung, sawan, memakai perentak jantung atau alat elektronik dalam tubuh.

“Ia diimport serta dijual secara terang-terangan justeru, KPDNKK perlu segera mengambil tindakan keras, merampas dan mengharamkan semua alat permainan berkenaan di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 7:45 AM