Najib bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Lampu Jalan Kampung Fasa 8 Negeri Johor di Padang Awam Bukit Mor, Muar.
Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria
news@nstp.com.my


Muar: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk memasang 50,000 lampu jalan kampung LED di seluruh negara.

Sebanyak RM50 juta daripada jumlah itu dikeluarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala kerajaan menambah baki RM50 juta untuk memasang kemudahan itu yang bakal memberi manfaat kepada 2.5 juta penduduk kampung di seluruh negara.

“Program lampu jalan kampung dan FELDA memang amat dekat di hati saya. Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk memasang lampu jalan di kampung seluruh negara.

“Lampu jalan kampung kalau kita pasang akan menjadikan suasana lebih ceria dan terang, apatah lagi jika lampu LED.

“Oleh itu, tahun ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM100 juta lagi untuk pemasangan 50,000 lampu jalan kampung LED di seluruh negara.

“Saya harap projek pemasangan lampu jalan kampung ini yang dijangka mengambil masa antara 10 hingga 14 bulan disegerakan, kalau boleh sebelum Aidilfitri, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Lampu Jalan Kampung Fasa 8 Negeri Johor di Padang Awam Bukit Mor, Parit Jawa, dekat sini, semalam.

Turut hadir, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:51 AM