BASARUDDIN (enam kanan) bersama Deplanck (empat kanan) merasmikan pembukaan pasar raya besar Giant Falim, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bh.com.my


PEMBUKAAN pasar raya besar Giant Falim di Ipoh, hari ini, membuktikan keyakinan pemilik pasar raya berkenaan terhadap prestasi ekonomi negeri ini sekarang dan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH), Pierre-Olivier Deplanck berkata, GCH yang memiliki Giant mempunyai keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi Perak apabila membuka pasar raya besar kelimanya di negeri ini.

“Ini adalah satu lagi pencapaian GCH apabila membuka pasar raya Giant pertama untuk tahun ini, terutama di Ipoh yang dikenali untuk banyak perkara seperti cita rasa makanan tempatan menakjubkan, bangunan warisan kolonial dan memiliki antara daya tarikan pelancongan terbaik di Malaysia seperti gua batu kapur bertaraf dunia serta penduduknya yang peramah.

“Pembukaan Giant Falim adalah sebahagian daripada hala tuju baharu Giant tahun ini dengan meluaskan capaian lokasi serta menawarkan barangan segar dari seluruh negara,” katanya berucap pada majlis perasmian pasar raya besar itu, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Basaruddin Sadali.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara GCH dengan Amaxmall Sdn Bhd (Amaxmall) yang diwakili oleh Deplanck bagi pihak GCH dan Ketua Pegawai Eksekutif Amaxmall, Datin Dr Nik Sarina Hashim.

Menerusi MoU itu, Amaxmall bertanggungjawab membawa produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk dijual di Giant sama ada secara runcit atau dalam talian, menerusi portal amaxMALL.com.

Sementara itu, Nik Sarina berkata, buat permulaan sebanyak 13 produk PKS tempatan akan dijual di Giant sebelum diperluaskan ke pasar raya besar dan superstore GCH sekitar Lembah Klang dengan sasaran sebanyak 30 peratus produk PKS tempatan dijual di pasar raya besar itu pada 2020.

Dalam pada itu, Basaruddin berkata, pihaknya sentiasa menyokong sebarang inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Katanya, data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan indeks jualan runcit dan borong pada November tahun lalu berjumlah RM97.7 bilion, iaitu peningkatan 7.3 peratus berbanding bagi bulan sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan itu disokong oleh peningkatan perniagaan runcit sebanyak 8.4 peratus dan borong sebanyak lapan peratus.

Katanya, data itu menunjukkan sektor peruncitan dan pemborongan produk pengguna masih meningkat termasuk dalam pelbagai format.

Pada majlis itu, Giant turut memberi sumbangan RM50,000 kepada Yayasan MyKasih untuk memberi bantuan kepada 50 keluarga miskin sekitar Falim dengan penyediaan barangan dapur untuk mereka selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 8:13 PM