Muhammad Shahruddin di samping ibunya Normah di rumahnya. Tiket bas dan keratan laporan Harian Metro berkaitan kehilangannya. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki
am@hmetro.com.my

SIKAP murni seorang lelaki membelikan tiket bas perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Pontian dan seorang pemandu teksi membawanya pulang ke rumah di Kampung Sungai Durian Kukup, di sini, membolehkan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran, Muhammad Shahruddin Ali, 25, pulang ke rumah dengan selamat, semalam.

Muhammad Shahruddin hilang sejak 24 Januari lalu menyebabkan keluarga yang bimbangkan keselamatannya membuat laporan polis, mencari di sekitar daerah Pontian, mentularkan kehilangannya dan mendapatkan bantuan Harian Metro untuk menyiarkan kisahnya.

Ibunya, Normah Abas, 53, berkata anak kesembilan daripada 10 beradik itu pulang ke rumah seorang diri dengan selamat pada jam 8.30 malam, semalam.

“Apabila memeriksa poket bajunya, saya menemui tiket bas dari Kuala Lumpur ke Pontian dan apabila ditanya, anak memberitahu ada seorang lelaki yang membelikan tiket berkenaan.

“Selain itu, dia memberitahu sebaik tiba di Terminal Bas Pontian, seorang pemandu teksi mendakwa mengenalinya dan terus menghantarnya pulang ke rumah.

“Alhamdulillah, doa kami sekeluarga supaya dia selamat pulang ke pangkuan keluarga dimakbulkan. Sejak kehilangannya 24 Januari lalu, saya tidak dapat menahan sedih dan hanya mampu berdoa selepas solat, selain menyimpan basikal kesayangannya di anjung rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, sebelum anaknya pulang, mereka puas mencarinya termasuk membuat laporan polis namun tidak berjaya.

Normah yang kematian suami, Ali Tahak, sejak 15 tahun lalu berkata, dalam kejadian 24 Januari lalu, dia hanya sedar kehilangan itu selepas solat Isyak selepas anaknya tidak pulang ke rumah. “Ketika itu, dia yang juga bekas pelajar Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Penerok, mendesak kakaknya, Suhanarti, 29, menyerahkan salinan kad pengenalan dengan tujuan mencari kerja.

“Walaupun kami tidak menganggap ia serius, kakaknya tetap memberikan salinan kad pengenalan kepadanya sebelum dia keluar rumah dan tidak kembali,” katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya, anaknya itu keluar pada malam berkenaan dengan berjalan dan membawa wang sebanyak RM150 iaitu lebihan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apa yang penting, anak saya sudah pulang dan ia adalah hasil bantuan orang ramai berhati mulia membantu anak saya pulang ke rumah.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada mereka yang jujur membantu Muhammad Shahruddin dan berharap Allah akan memudahkan semua urusan individu berkenaan, selain itu kami merancang mengadakan majlis kesyukuran tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 7:39 PM