PENDUDUK kampung melihat tebing Sungai Mulong yang semakin menghampiri kawasan tanah perkuburan akibat hakisan di Kampung Likong, Limbat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


TANAH Perkuburan Kampung Likong, Limbat yang terletak berhampiran Sungai Mulong, Kota Bharu, berdepan masalah hakisan teruk sehingga tengkorak, tulang dan batu nisan ditemui di dasar sungai berkenaan.

Hakisan membabitkan tanah perkuburan berusia hampir 100 tahun dan mempunyai lebih 100 kubur itu semakin teruk sejak Kelantan dilanda banjir besar pada 2014 menyebabkan sehingga kini lebih lima kubur sudah musnah.

Penduduk, Wan Kamalrudin Mahmood, 54, berkata, masalah hakisan sudah berlaku sejak 20 tahun lalu, namun situasi itu semakin teruk sejak banjir besar pada 2014.

Katanya, kesan daripada hakisan tu, dia pernah menemui tulang, tengkorak dan batu nisan di dalam sungai.

“Tanah perkuburan ini berhampiran kawasan sungai dan menyebabkan berlaku hakisan. Kami berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan susulan bagi mengelak lebih banyak kubur yang musnah,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Penduduk, Roslan Zainal, 62, berkata, selain hakisan, tanah perkuburan itu juga diancam haiwan liar sehingga merosakkan batu nisan dan kepok kubur.

“Bukan itu sahaja, tanah kubur ini juga sudah padat dan apabila berlaku kematian menyebabkan penggali kubur terpaksa menggali kubur di keluasannya yang agak terhad.

“Bagaimanapun, bagi memastikan tanah perkuburan ini sentiasa dalam keadaan terjaga, penduduk kampung akan mengadakan gotong-royong sebulan sekali,” katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, jarak hakisan terletak kira-kira tiga meter (m) daripada tanah perkuburan itu.

“Memandangkan kawasan tanah perkuburan ini terletak terlalu hampir dengan sungai, saya bimbang kubur yang sedia ada akan dihanyutkan atau runtuh akibat hakisan.

“Justeru, saya berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia kini sudah dalam pemerhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),”katanya.

Terdahulu, 50 penduduk kampung mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan tanah perkuburan berkenaan yang bermula 8.30 sehingga 11 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 6:58 PM