AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan bakal menerima sebuah kapal ronda buatan tempatan generasi baru dengan teknologi terkini, esok. FOTO Ihsan APMM
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan bakal menerima kapal ronda generasi baru dengan teknologi terkini, esok.

Kapal ronda buatan tempatan itu adalah antara enam kapal yang dibina bagi mengukuhkan lagi kemampuan aset sedia ada dalam inventori APMM serta Wilayah Maritim Sabah dan Labuan.

Kapal pertama bagi kelas itu, sudah dirasmikan pada sambutan LIMA 2017 yang lalu di Pulau Langkawi.

Kapal ronda yang diberikan nama Kapal Maritim (KM) Kota Belud itu akan ditempatkan di Daerah Maritim Sandakan (DM17) bagi melaksanakan tugasan penguatkuasaan di sektor Esszone.

Kapal ini dibina di Limbungan Destini Berhad di Pelabuhan Klang dan dilengkapi dengan selaras meriam Aselsan SMASH 30mm dari jenis Remote Controlled Stabilised Weapon Station serta dengan sebuah UAV Fulmar dari Thales untuk tugasan Intelligence, Surveillance, Reconnaissance (ISR).

Kapal turut dilengkapi dengan sistem Automatic Identification System (AIS) dan juga Foward Looking Infrared (FLIR) System bagi memastikan tugasan penguatkuasaan secara 3 dimensi di sektor rondaan lebih berkesan.

Sementara itu, Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, Kapal KM Kota Belud mempunyai ukuran panjang keseluruhan 45 meter dengan lebar 7.7 meter serta berat 297 tan.

Katanya, aset baru itu mampu untuk belayar sehingga 2,000 batu nautika dengan kelajuan ekonomi tanpa perlu membuat proses ulang bekal.

"Dengan keseluruhan enam kapal ronda generasi baru iaitu KM Bagan Datuk yang ditempatkan di Daerah Maritim Klang, KM Sri Aman di Daerah Maritim Kuching, KM Kota Belud di Daerah Maritim Sandakan.

"Selain kapal KM Tok Bali di Daerah Maritim Tok Bali, KM Kota Kinabalu di Daerah Maritim Kota Kinabalu dan KM Lahad Datu yang bakal di tempatkan di Daerah Maritim Tawau dilihat mampu mengalas tugasan penguatkuasaan yang lebih dinamik dan efisen," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Kapal berkenaan dijangka tiba di Kota Kinabalu esok, selepas belayar selama 4 hari dari Pelabuhan Klang, sejak 7 Februari lalu.

Menurut Mohd Zubil, ia akan dipamerkan kepada orang ramai Ahad ini, di Pelabuhan Sabah, di sini, sempena acara Open Ship Day APMM.

"Ia akan dibuka untuk lawatan bersama KM ARAU sebagai salah satu acara Hari Ulang Tahun APMM yang ke-13," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 5:48 PM