Kim Kyutae (kiri) bersama Kua (kanan) melihat barang elektrik selepas merasmikan pembukaan outlet baharu LG Elektronics di Mydin Mall Pelangi Indah, Ulu Tiram, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Nurul Amanina Suhaini
bhjb@bh.com.my


LG Elektronics Malaysia (LG), peneraju pelbagai perkakasan elektrik dan elektronik mensasarkan membuka sekurang-kurangnya lapan cawangan baharu sepanjang tahun ini, berikutan sambutan menggalakkan pelanggan di seluruh negara.

Pengarah Urusan LG Kim Kyutae berkata, sehingga kini, pihaknya mempunyai sebanyak 24 cawangan di seluruh negara termasuk di Mydin Mall Pelangi Indah, di Johor Bahru yang dibuka secara rasmi hari ini.

Katanya, cawangan baharu seluas 74.32 meter persegi itu menjadi lokasi kedua dibuka pada tahun ini, selepas cawangan di Suria Jerai Chai Leng Park, Pulau Pinang, yang dirasmikan awal Januari lalu.

"LG kini dalam perancangan membuka di beberapa lokasi strategik terutama di kawasan bandar Semenanjung Malaysia termasuk Kuantan, Pahang, Lembah Klang dan Melaka, selain di Sabah.

"Secara umumnya, kami sedar era digital secara tidak langsung memberi kuasa kepada pelanggan untuk membuat keputusan lebih bijak sebelum membeli produk.

"Sehubungan itu, diharap lebih 200 orang kakitangan kami di seluruh negara mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan berkongsi pengalaman menggunakan pelbagai kelengkapan LG untuk menerangkan kepada pelanggan.

"Pembukaan LG Electronics Malaysia di Johor ini membolehkan jenama produk lebih dekat dengan pelanggan, sekali gus menepati cita rasa dan kehendak masyarakat pelbagai peringkat usia," katanya ketika ditemui di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Khin Guan Corporation Sdn Bhd, Kua Chun Huat.

Kyutae berkata, LG sentiasa berusaha dalam merekabentuk dan menghasilkan pelbagai produk kontemporari dan sempurna yang melengkapi kehidupan pelanggan.

Menurutnya, cawangan baharu itu mendapat kerjasama rakan strategik iaitu Khin Guan Corporation Sdn Bhd yang turut menawarkan lebih 50 jenis produk termasuk perkakas penyelesaian udara seperti OLED, Nano Cell UHD, Super UHD, UHD dan LED TV, selain produk premium antaranya peti sejuk, mesin basuh dan penyedut habuk.

Sempena pembukaan cawangan LG di Pelangi Indah itu pihaknya mengadakan cabutan bertuah kepada pelanggan yang membeli produk LG dengan harga RM5,000 ke atas.

Pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah berjumlah RM38,888 bermula 9 Februari hingga Mac ini, selain tambahan satu tahun jaminan bagi televisyen yang turut diberikan potongan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 4:46 PM