ANJING Unit Pengesan (K9) Bomba digunakan untuk menjalankan siasatan di tempat letak kenderaan JPJ Timbang Lori, 6 Februari lalu. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


HASIL analisis enam sampel diambil bomba di lokasi kebakaran lima kenderaan, termasuk tiga kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasaan JPJ Timbang Lori Kuala Kangsar, menemui unsur bahan bakar.

Dalam kejadian 2.30 pagi Selasa lalu, tiga kenderaan JPJ membabitkan dua Toyota Fortuner dan satu Ford Ranger serta dua kereta disita jenis Volvo masing-masing musnah terbakar 90 dan 70 peratus di kawasan tempat letak kenderaan jabatan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Sayani Saidon berkata, Unit Forensik JBPM Perak dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Klang, Selangor, mengenal pasti enam sampel itu hasil siasatan di lokasi kejadian.

Katanya, sampel berkenaan kemudian dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran Bomba di Kuala Lumpur dan hasil analisis diperoleh hari ini mendapati unsur bahan bakar ditemui.

“Bagaimanapun, pihak kami (bomba) masih memperhalusi faktor lain yang mungkin menjadi punca kebakaran itu.

“Hasil analisis ini akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, polis masih menunggu maklumat penuh daripada JPJ berhubung sindiket kenderaan klon yang dipercayai mendalangi kejadian itu.

Beliau berkata, JPJ perlu memberi maklumat mengenai semua isu itu supaya polis boleh memfokus faktor kejadian, termasuk masalah individu jika ada.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan dan JSJ sedang menyiasat perkara itu dari setiap aspek,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada sidang media di Pulau Pinang, tidak menolak kemungkinan kejadian itu didalangi sindiket kenderaan klon.

Berita berkaitan:

Mungkin angkara sindiket klon kenderaan

Ingatkan tayar lori pecah...

Perbuatan khianat? [METROTV]

3 kenderaan JPJ antara 5 hangus

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 2:20 PM