Gambar hiasan.
Nur Sufiah Abd Halim
news@nstp.com.my


HANYA 3,035 saman dibayar pesalah trafik daripada 29,526 dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) Kuala Lumpur sejak 1 Januari hingga Sabtu lalu. 

Saman berkenaan dibayar menerusi satu kaunter tawaran diskaun 30 peratus yang dibuka pada 3 Februari lalu di sebuah pusat beli belah di Cheras. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, nilai saman yang dikutip pada hari itu adalah sebanyak RM20,650 dan sambutan memang amat menggalakkan. 

“Sambutan diterima amat menggalakkan namun, masih ramai yang culas membayar biarpun kita buka kaunter tawaran diskaun 30 peratus bagi menarik pesalah trafik membayar saman. 

“Kesedaran pesalah trafik dalam menjelaskan saman tertunggak masih lagi rendah memandangkan bilangan waran tangkap direkodkan adalah tinggi iaitu sebanyak 7,166 daripada 29,526 yang dikeluarkan bagi tahun ini sahaja," katanya. 

Zulkefly berkata, kebanyakan kesalahan dilakukan pesalah trafik di ibu kota adalah tidak memiliki lesen selain kenderaan tiada insurans dan cukai jalan tamat tempoh. 

"Bagi mengelak peningkatan saman, pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak serta waran tangkap akan diburu menerusi Operasi Waran Tangkap (Ops Warta) yang akan kita jalankan secara berkala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:05 PM