ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin (tiga dari kiri) bersama penduduk kampung melakukan gotong-royong di rumah tujuh beradik yang disyaki penagih di Desa Keda, Kampung Bukit. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


ABANG kepada enam beradik yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersedia untuk dipisahkan sekiranya dihantar ke pusat pemulihan untuk mendapatkan rawatan bagi memastikan mereka tidak akan terjebak semula dengan dadah.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang turut ditahan bersama adik beradiknya ketika pemeriksaan AADK bersama agensi lain pada 1 Februari lalu berkata, dia bersedia jika mereka dipisahkan demi kebaikan mereka sendiri.

“Kalau ada yang mencadangkan supaya kami semua berpisah buat sementara waktu untuk mendapat rawatan, saya bersetuju demi masa depan kami semua.

“Sekarang ini, adik sudah tinggal bersama ibu kandungnya dan bapa tiri di Alor Setar selepas dibenarkan keluar dari wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa KEDA Kampung Bukit, Pokok Sena, hari ini.

Berhubung tangkapan ke atas mereka enam beradik oleh AADK pada 1 Februari, lelaki itu akui terkejut yang adik-adiknya termasuk yang bongsu berusia 10 tahun didapati positif dadah. Lelaki itu berkata, sebelum ini dia pernah beberapa kali menjalani rawatan di pusat pemulihan sebelum bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung ini untuk menjaga adik beradiknya selepas kematian bapa mereka, empat tahun lalu.

Katanya, kanak-kanak itu tinggal bersama mereka enam beradik selepas berhenti sekolah di Padang Terap dan sikap mereka sangat baik walaupun berlainan ibu.

“Sebelum ini saya ada dengar dia hisap rokok tetapi di rumah dia langsung tak tunjuk semua tu depan kami adik beradik yang lain menyebabkan saya terkejut dengan apa yang dia buat.

“Setiap hari dia akan keluar dari waktu pagi hingga petang sebelum pulang ke rumah dan saya tak tahu apa yang dia buat di belakang kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, empat kawasan penempatan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Pokok Sena perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh pihak berkuasa berikutan ia menjadi lokasi panas tumpuan penagihan dadah.

Beliau berkata, antara kawasan terbabit termasuklah di KEDA Kampung Bukit, Derang, Bendang Perang dan Batu 13, di sini yang kerap diserbu AADK kerana bimbang semakin ramai anak muda terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu.

“Saya juga sudah berbincang dengan pihak sekolah supaya membenarkan pihak AADK untuk melakukan pemeriksaan terhadap pelajar sekolah di kawasan berkenaan kerana kebanyakannya adalah anak penduduk KEDA.

“Selain itu, enam beradik yang ditahan AADK di rumah ini minggu lalu masih menetap di sini dan mereka akan dipantau pihak berkuasa serta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk memastikan mereka tidak lagi terjebak dengan dadah,” katanya ketika ditemui sewaktu melakukan gotong-royong di rumah keluarga itu di Kampung Desa Keda, Kampung Bukit, hari ini.

Ahmad berkata, berdasarkan laporan akhbar minggu lalu, kesemua tujuh beradik berusia 10 hingga 30 tahun yang menetap di rumah ini positif dadah jenis syabu dan heroin dan perkara itu amat menyedihkan.

Bagaimanapun katanya, kunjungan beliau di rumah itu semalam hanya menemui dua daripada enam beradik berkenaan yang mana seorang daripadanya masih direman AADK, dua beradik perempuan itu dipercayai menghilangkan diri manakala seorang lagi keluar sejak awal pagi.

“Kita juga akan membantu untuk menceriakan semula halaman rumah berkenaan selain memasang tikar getah dan memasang semula bekalan air yang dipotong di rumah ini sejak setahun lalu.

“Selain itu, pada hari ini juga saya turut menyampaikan sumbangan makanan dalam program Barakhah dari Menteri Besar Kedah untuk membantu keluarga ini.

“Saya harap isu ini akan selesai kerana hasil perbincangan dengan semua pihak termasuk penduduk kampung, guru besar dan KEDA hari ini, semua bersetuju untuk membantu keluarga ini untuk membentuk semula mereka supaya tidak terjebak dengan dadah,” katanya.

Dalam program itu, penduduk kampung turut menyertai gotong-royong membersihkan kawasan rumah berkenaan.

Berita berkaitan

Awat hangpa jadi lagu ni...?

Pisahkan mereka demi kebaikan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 7:00 PM