Rohaniza Idris dan Nurhayati Abllah dan Farhana Syed Nokman
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, kaedah silang subsidi untuk Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan di samping memenuhi agenda perumahan negara.

Perdana Menteri berkata, kaedah itu dilaksanakan secara 60:40 iaitu 60 peratus keluasan tanah dibangunkan kerajaan untuk PPA1M manakala 40 peratus lagi diberikan kepada pemaju untuk pembinaan perumahan pada harga pasaran semasa.

Katanya, konsep itu menjadikan harga rumah PPA1M di bawah harga pasaran yang melebihi RM500,000 seunit jika dibandingkan dengan skim perumahan bersebelahan dimajukan pemaju sama.

“Ini kerana harga jualan perumahan PPA1M adalah antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan lantai tidak kurang dari 1,000 kaki persegi hingga 1,434 kaki persegi,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan PPA1M Bukit Jalil di sini, semalam.


NAJIB menyerahkan replika kunci rumah PPA1M sambil diperhatikan Tengku Adnan (kiri) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan SriMhd Amin Nordin Abd Aziz.

Terdahulu, Najib menyerahkan replika kunci rumah PPA1M Bukit Jalil kepada tujuh pemilik kediaman sebagai simbolik projek pembinaan itu siap dan sedia untuk didiami.

Projek PPA1M Bukit Jalil membabitkan pembinaan 1,536 unit rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi (92 meter persegi) sehingga 1,400 kaki persegi (130 meter persegi) berharga antara RM150,000 dan RM300,00.

Projek rumah mampu milik itu menjadi satu-satunya PPA1M paling tinggi pernah dibina dengan 41 tingkat di dua blok bangunan dilengkapi tempat letak kereta, dewan pelbagai guna, taman permainan kanak-kanak, klinik, nurseri, kawasan rekreasi yang dihubungkan dengan laluan berbumbung kepada stesen LRT berhampiran.

Najib berkata, kaedah silang subsidi berkenaan akan diteruskan dalam agenda perumahan negara terutama dalam pembinaan projek PPA1M.


ANTARA penerima kunci rumah PPA1M di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Katanya, secara tidak langsung pemilik rumah PPA1M seperti di Bukit Jalil ini memiliki kediaman yang mempunyai nilai pasaran tinggi setanding dengan unit pasaran terbuka.

“Kerajaan bukan hanya mahu menyediakan kediaman yang baik dan selesa untuk penjawat awam dan rakyat malah memberi nilai tambah dengan pemberian tambahan aset kekayaan peribadi kepada rakyat.

“Bermakna melalui PPA1M ini rakyat dengan sekelip mata sudah mendapat keuntungan aset mengikut nilai pasaran semasa,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan menyasarkan 1 juta rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Untuk kakitangan kerajaan, kerajaan menyasarkan 200,000 kediaman PPA1M akan dibina dengan harga mampu milik bernilai di bawah RM300,000 berbanding harga pasaran semasa.

“Sehingga kini, kerajaan meluluskan pembinaan 135,456 unit kediaman PPA1M daripada 433 keseluruhan projek seluruh negara. Daripada jumlah itu, 17,191 unit ditawarkan kepada penjawat awam yang berkelayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:37 AM