Nur Jazlan (tengah) diiringi Aireen (dua dari kanan) dan Tee (dua dari kiri) pada majlis pelancaran FACES di LTAS, semalam.
Mohd Fahmi Mohd Yusof
news@nstp.com.my

Johor Bahru: AirAsia melancarkan sistem pengecaman wajah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, menjadikannya syarikat penerbangan pertama di Asia yang menawarkan kemudahan itu.

Bagi fasa pertama penggunaannya, sistem diberi nama Fast Airport Clearance Experience System (FACES) itu disediakan di laluan domestik LTAS sebelum diperluaskan ke pintu masuk pelepasan antarabangsa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat) AirAsia, Aireen Omar berkata, menerusi FACES, semua data biometrik iaitu wajah pengguna dirakam dan disimpan dalam sistem penyimpanan data dibangunkan sendiri AirAsia.

“Tetamu (pelanggan AirAsia) yang ingin merasai pengalaman menggunakan FACES boleh mendaftar di kios pendaftaran yang terletak di kawasan daftar masuk sendiri di LTAS dan hanya perlu meletakkan MyKad atau pasport bercip mereka di kios berkenaan.

“Mereka kemudian perlu memandang kamera untuk mendapatkan token biometrik dan sistem ini tersedia untuk tetamu berusia 18 tahun ke atas. Proses pendaftaran hanya perlu dibuat sekali saja dan tetamu boleh menggunakan pintu pelepasan sendiri AirAsia untuk semua penerbangan selagi dokumen mereka masih sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran FACES yang disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed di LTAS di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, Md Derick Basir.

Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh AirAsia, FACES menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tetamu yang sudah berdaftar di pintu pelepasan sendiri, membolehkan mereka menaiki penerbangan tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:13 AM