Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah melancarkan Honda Odyssey terbaru di Setia City Convention Centre, Shah Alam. FOTO Ruhanis Shukri
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Honda Malaysia Sdn Bhd pengedar utama kenderaan jenama Honda di negara ini melancarkan model Odyssey baru untuk pasaran tempatan di Shah Alam, petang tadi.

Model kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipertingkatkan itu diimport sepenuhnya dari Jepun kini dilengkapi dengan sistem keselamatan termaju Honda Sensing.

Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial berkata Odyssey adalah model ketiga selepas CR-V dan Accord dilengkapi ciri keselamatan itu yang memenangi anugerah dalam ASEAN NCAP Grand Prix 2016.

“Odyssey baru kini tampil lebih premium dengan bampar hadapan dan gril baru serta rekaan lampu belakang LED dan rim aloi dua tona 17 inci bergaya," katanya ketika majlis pelancaran.

Ruang dalaman juga diberi penambahbaikan seperti perehat tangan lebih besar untuk pemandu, ruang simpanan barangan tambahan dan tempat duduk Premium Captain dengan ciri Ottoman pada baris kedua bagi keselesaan perjalanan jarak jauh.

Satu varian ditawarkan iaitu 2.4L EXV dengan harga jualan bermula daripada RM254,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan akan mula berada di pasaran pada Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:21 PM