Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


LELAKI yang bakal melangsungkan perkahwinan dua bulan lagi terpaksa meringkuk di dalam penjara apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan mencuri.

Majistret Nurshahirah Abd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Tajudin Jamil, 24, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nurshahirah menasihati tertuduh yang akan melangsungkan perkahwinan pada bulan Mac depan supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

Nurshahirah turut menyoal tertuduh adakah ini permulaan bagi dirinya yang mahu berkeluarga tidak lama lagi.

Tertuduh menjawab, "Saya faham Puan, saya menyesal dan saya janji tidak akan buat lagi," katanya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri harta antaranya lampu suluh dan telefon bimbit milik Chilindo.com pada 12.05 pagi, 3 Februari lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai pembantu gudang di syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di Chilindo.com, Lot 10, Jalan Teknologi, Kota Damansara, di sini mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara sebulan lagi, jika denda gagal dibayar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan atas alasan dia anak lelaki tunggal selain merupakan penanggung utama keluarga.

Mengikut fakta kes, pengadu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat itu melakukan pemeriksaan terhadap motosikal pekerja.

Ketika pemeriksaan, pengadu menjumpai beberapa barangan di dalam kotak di belakang motosikal milik tertuduh sebelum membuat laporan kepada majikannya.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membawa keluar kesemua barangan itu dari premis Chilindo.com tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 5:19 PM