MURID terbabti menerima seekor ayam jantan sebagai 'Sogit' daripada guru lelaki berkenaan di sebuah sekolah rendah di Penampang, hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Olivia Miwil
olivia@nst.com.my


KES membabitkan murid Tahun Empat yang mendakwa tangan kanannya digigit oleh seorang guru lelaki diselesaikan mengikut adat masyarakat Kadazandusun, hari ini.

Guru terbabit dikatakan membayar 'sogit' iaitu denda mengikut adat dalam bentuk ayam kepada kanak-kanak itu di sekolahnya pada 1 tengah hari ini.

Ketua kampung Kampung Kituao yang enggan dikenali menyaksikan dan mengisytiharkan kedua-dua pihak sudah berdamai mengikut adat.

"Di peringkat adat, ia adalah kebiasaan amalan 'sogit' (dalam situasi seperti itu) kerana kanak-kanak ini berasal daripada kampung ini.

"Biasanya untuk kes kecil atau tidak disengajakan, dendanya adalah membabitkan ayam," katanya sambil menambah kes itu hanya diselesaikan di peringkat kampung, namun enggan mengulas mengenai siasatan lain.

Acara itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Mojuntin Ebin, guru besar, guru serta murid sekolah terbabit.

Minggu lalu, ibu bapa murid itu membuat laporan polis selepas menemui kesan lebam pada tangan kanan kanak-kanak lelaki terbabit.

Kanak-kanak itu mendakwa seorang guru lelaki menggigit tangannya pada Jumaat lalu ketika dia menghantar kertas jawapan.

Difahamkan, murid itu juga sudah berjumpa doktor untuk kecederaannya dan menghadiri sesi persekolahan seperti biasa bersama adiknya.

Sementara itu, guru berkenaan dilihat masih bergaul dengan murid lain selepas acara terbabit.

Berita berkaitan

Cikgu, gigit tangan saya?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 4:52 PM