FOTO hiasan
Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@bh.com.my


KONTRAKTOR dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas tuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM80,000 ke dalam sebuah akaun, Ogos tahun lalu.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hafiszudin Rosdi, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh tangkap pada 4 Ogos 2017.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Hafiszudin didakwa menyembunyikan harta bukan miliknya melalui akaun sebuah bank menyebabkan mangsa yang juga eksekutif di syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM80,000 antara 7.07 malam hingga 7.48 malam pada 2 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak membantah sambil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

"Dalam kes ini, wang tunai RM80,000 masih tidak dapat dikembalikan dan pengadu mengalami kerugian yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 2:15 PM