GAMBAR hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
bhnews@bh.com.my


PENGANGGUR ditahan polis kelmarin, dipercayai mengiklankan jualan telefon pintar melalui media sosial bagi memperdaya pembeli.

Suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah hari di Kajang bagi membantu siasatan berkaitan beberapa kes penipuan sebelum ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata dalam kejadian terbaru, suspek dipercayai memperdaya juruteknik berkaitan penjualan iPhone 6S bernilai RM1,670 melalui Facebook, beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan akaun Facebook miliknya dipercayai untuk mencari mangsa.

“Suspek didakwa memperdaya mangsa berusia 29 tahun dari Maran berkaitan pembelian telefon iPhone 6S dengan meminta mangsa membuat transaksi kewangan atas nama suspek.

“Apabila transaksi sudah dibuat, suspek didakwa terus menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, bertindak hasil maklumat akaun perbankan digunakan suspek, pihaknya melakukan serbuan di Kajang sebelum lelaki terbabit berjaya ditahan.

Katanya, suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Mohd Wazir turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam urusan pembelian online dan menyemak secara terperinci maklumat berkaitan peniaga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:03 AM