SITI Aminah (kanan) bersama anak dan adiknya di rumah mereka.
Keadaan rumah didiami lapan beranak di Kampung Banggol Berangan, Parit Panjang.
Safuri Kamarudin
news@nstp.com.my


Baling: Lapan beranak terpaksa berteduh di sebuah rumah usang kerana tidak mampu membina tempat tinggal lebih selesa akibat kesempitan hidup.

Akibatnya, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di rumah daif di Kampung Banggol Berangan, Parit Panjang itu, dengan hampir keseluruhan bumbung bocor.

Siti Aminah Mohamad Ghazali, 39, tinggal di rumah itu bersama suami Mohamad Zain Wahab, 41, dan enam anak mereka.

Siti Aminah berkata, mereka sekeluarga tinggal di rumah peninggalan arwah orang tuanya sejak 15 tahun.

Menurut Siti Aminah, suaminya hanya bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak manakala dia suri rumah.

“Saya tidak dapat membantu suami untuk menambah pendapatan keluarga kerana mengurus makan minum di rumah dan anak bersekolah dan masih kecil.

“Suami bekerja sekadar cukup untuk berbelanja dapur dan persekolahan anak malah pernah kami mengikat perut demi anak yang bersekolah kerana bimbang mereka tercicir dalam pelajaran,” katanya.

“Saya sedih setiap kali hujan lebat kerana bumbung rumah kami bocor di segenap penjuru,” katanya.

Siti Aminah berkata, dia juga berharap ada sinar masa depan dan ada pihak tampil membantu membaik pulih rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:29 AM