ANGGOTA polis trafik mengawal lalu lintas di lokasi kemalangan maut di Kilometer 9.9, Lingkaran Tengah II, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Gombak: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut sejurus terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.9, Lingkaran Tengah II (MRR2) menghala ke Kepong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa, Asmadi Ab Aziz, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Kawasaki KLE650 dikatakan dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa yang juga operator pengeluaran itu melanggar sebuah motosikal lain yang berada di hadapannya.

“Rempuhan menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu masuk ke laluan kiri jalan dan merempuh dua kereta Honda City dan Proton Saga,” katanya.

Sahimi berkata, kenderaan yang terbabit dengan kemalangan ditahan untuk siasatan.

“Usaha mengesan penunggang motosikal yang dilanggar mangsa dijalankan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 11:37 AM