Syalikha Sazili
syalikha@bh.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan membina 3,500 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek RUMAWIP itu adalah kerjasama dengan Kementerian Pertahanan di bawah projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

Katanya, inisiatif ini dilaksanakan bagi membolehkan setiap anggota tentera memiliki kediaman sendiri di ibu kota.

“Projek ini dijangka dilancarkan Mac depan. Ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang dilakukan ATM.

“Harga seunit kediaman yang bakal ditawarkan adalah serendah RM150,000 hingga RM250,000 dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,200 kaki persegi.

“Pelbagai kemudahan seperti surau dan dewan serba guna akan disediakan untuk kegunaan pembeli kelak,” katanya selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Bandar Tun Razak di Kem Tentera Sungai Besi, semalam.


TENGKU Adnan (tengah) beramah mesra dengan tetamu pada program Kenduri 1 Wilayah Persekutuan parlimen Bandar Tun Razak di Kem Labuan Sungai Besi.

Tengku Adnan berkata, pihaknya turut bersetuju menaik taraf taman permainan Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Darat yang menelan kos RM100,000 dan pembinaan padang futsal berjumlah RM150,000.

“Kemudahan ini untuk rakyat dalam menjamin kesejahteraan hidup bersama,” katanya.

Sementara itu, sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2018 pihak kementerian mengekalkan tema tahun lalu iaitu Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera dengan memberi fokus terhadap keceriaan dan kesejahteraan hidup.

Melalui pelaksanaan Kenduri 1Wilayah Persekutuan dapat menanam semangat kebersamaan dan keharmonian rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 11:06 AM