MOHD Khalil (tengah) menunjukan paket minuman teh berperisa dicampur dadah yang dirampas, hari ini. FOTO Ernalisa Othman
Ernalisa Othman
am@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan paket minuman apabila lima individu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Skudai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam serbuan pada 12.10 tengah malam, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih 10.39 kilogram (kg) bernilai RM1.43 juta.

Katanya, individu yang ditahan terdiri tiga lelaki tempatan serta masing-masing wanita tempatan dan Vietnam berusia antara 22 hingga 50 tahun.

"Pihak polis melakukan intipan terhadap aktiviti sindiket terbabit sejak empat bulan lalu dan kita percaya mereka menggunakan taktik dengan membungkus dadah sintetik menggunakan paket minuman seperti teh berperisa mangga.

"Dalam serbuan itu, kita merampas serbuk ektasi seberat 10.21 kg, ketamin (5.62 gram),syabu (140.01 gram), pil Eramin 5 (130 biji) dan ektasi (empat biji)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, hari ini.

Selain itu, katanya, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk proses membungkus dadah seperti alat pemampat dan alat penimbang.

“Pihak polis juga merampas dua buah kereta model Audi TT dan Proton Saga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 7:10 PM