Zaid Salim
am@hmetro.com.my


DUA lelaki yang dipercayai terbabit kes kecurian dalam masjid di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus ditahan di lokasi berasingan, semalam.

Dua suspek masing-masing berusia 39 dan 18 tahun itu dikatakan aktif melakukan jenayah itu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Kampung Ladang dan As-Salam di Batu Rakit dengan mensasarkan barangan milik jemaah masjid.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 39 tahun dari Kampung Sentul Patah, Marang.

Beliau berkata, suspek ditahan 1.15 pagi semalam, ketika bersiar-siar di bandar raya ini selepas empat hari mangsa melaporkan kejadian pada 31 Januari lalu.

"Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 38 tahun yang berasal dari Pulau Kerengga, Marang terlelap selepas menunaikan solat Zohor di masjid AMBS, sebelum mendapati beg pinggang mengandungi wang tunai RM2,000 dan telefon bimbit serta dokumen peribadi yang diletakkan di sisinya hilang sebaik terjaga 4.45 petang.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan, polis kemudian menjejak suspek terbabit sebelum terserempak dengannya di Jalan Tok Lam, di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ditahan lelaki terbabit masih mengenakan pakaian sama ketika melakukan jenayah itu dan menjadi petunjuk mudah untuk polis menahan suspek bagi pemeriksaan.


TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman (tengah) bersama pegawai menunjukkan baju sama yang dipakai oleh suspek pada sidang media mengenai Tangkapan dan Rampasan Barang Kecurian di Masjid di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Katanya, susulan tangkapan itu, polis menemui semula beg mangsa dan wang tunai sebanyak RM177 serta telefon bimbit Samsung dan dokumen peribadi mangsa.

Beliau berkata, tangkapan kedua pula membabitkan suspek berusia 18 tahun yang dikatakan aktif melakukan jenayah sama di Masjid As-Salam, Batu Rakit.

Suffian berkata, suspek yang bekerja sebagai mekanik motosikal ditahan di perkarangan masjid berkenaan selepas mencuri beg jemaah ketika menunaikan solat Maghrib, semalam.

"Suspek yang berasal dari Kampung Darat Batu Rakit itu dikatakan kerap melakukan kecurian di masjid berkenaan menyebabkan jemaah sentiasa dalam keadaan bimbang ketika menunaikan solat," katanya.

Polis percaya kes membabitkan kecurian dalam masjid di daerah ini dan Kuala Nerus dapat dikurangkan berikutan penahanan kedua-dua suspek dan mereka direman selama empat hari bermula semalam hingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seskyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 6:18 PM