HARGA ikan sedikit mahal ekoran kekurangan bekalan.
Siti Salmiah A Hamid
news@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Harga barangan basah dilihat melonjak berikutan kekurangan bekalan di pasaran.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit dan Pasar Borong Selayang mendapati kebanyakan peniaga menjual ayam dan ikan pada harga sedikit tinggi berbanding bulan lalu.

Ayam segar di Pasar Borong Selangor dijual pada harga RM8 manakala di Pasar Chow Kit sekitar RM8 hingga RM8.50 sekilogram (kg) namun masih berada pada harga kawalan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Di Pasar Borong Selangor, barangan basah lain seperti ikan cencaru dijual pada harga RM8 per kg, kembung (RM16), kerisi (RM12), selar (RM11 ke RM13), ketam bunga (RM29 ke RM32), udang (RM32 ke RM36) dan sotong (RM28).

Antara barangan basah yang dijual di Pasar Chow Kit antaranya ikan cencaru (RM7 ke RM8), kembung (RM11), kerisi (RM8), ketam bunga (RM22), udang (RM32 ke RM36), sotong (RM23 ke RM28), sardin (RM11), bawal hitam (RM20) dan ikan merah (RM25).


TINJAUAN harga ayam di pasar Chow Kit.

Harga barangan segar yang ditetapkan KPDNKK meliputi ayam segar RM8 ke RM8.50, cencaru (RM 7 ke RM8), kembung (RM13 ke RM16), kerisi (RM12), selar kuning (RM10 ke RM11), ketam (RM22 ke RM28), sotong (RM23 ke RM28), udang RM28), bawal hitam (RM19) dan ikan merah (RM26).

Peniaga ikan yang tidak mahu dikenali di Pasar Chow Kit, berkata, bekalan ikan segar amat berkurangan ketika ini dan kebanyakan peniaga bergantung kepada jualan ikan sejuk beku.

“Mungkin disebabkan musim hujan yang lalu dan masih berterusan di sekitar pantai timur dan Pulau Pinang menyebabkan kami tidak mendapat bekalan ikan secukupnya.

“Disebabkan itu, harga jualan ikan dan ayam agak tinggi kerana peniaga terpaksa bersaing bagi mendapatkan bekalan ikan daripada peraih,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 6:10 AM