LAUTAN manusia menyaksikan persembahan konsert di Festival GegaRia Edisi Kedua, malam tadi.
Nurul Amanina Suhaini
bhjb@bh.com.my

Johor Bahru: Tema berkonsepkan moden, hipster dan penuh warna warni menjadi tarikan utama pengunjung hadir menyertai aktiviti Festival GegaRia di sini, semalam.

Seawal jam 8 pagi lagi pengunjung mula memenuhi lokasi Festival GegaRia yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, dekat sini.

Pengunjung, Aina Toher, 16, berkata, dia ingin melihat sendiri gaya hipster festival berkenaan seperti diviralkan rakannya menerusi perkongsian laman sosial Instagram.

Malah dia memberitahu turut teruja mahu menyaksikan artis tempatan membuat persembahan pada waktu malam. Aina bersama tiga rakannya sanggup keluar rumah seawal jam 8 pagi dengan menaiki bas dari Taman Pulai Jaya, dekat sini, bagi merasai sendiri kehangatan Festival GegaRia, sekali gus mengisi masa lapang hujung minggu.


PENGUNJUNG berpeluang menghias biskut mengikut kreativiti sendiri.

“Banyak ‘port’ yang sesuai untuk mengambil gambar ‘selfie’, malah warna yang ceria membuatkan sesiapa sahaja akan datang singgah dan melihat sendiri acara menarik disediakan termasuk menyertai permainan tradisional dan elektronik.

“Tarikan yang dinantikan semestinya kehadiran artis tempatan. Selain daripada aktiviti keluarga, gen Y (generasi muda) turut diberi peluang mengunjungi zon bersesuaian dengan jiwa mereka seperti demonstrasi mekap, tutorial hijab dan makanan hipster,” katanya.

Sementara itu, Nazatul Natasha Nasarudin, 22, berkata, dia mengambil kesempatan ke Festival GegaRia bagi mendaftar menjadi pengundi di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya rasa bertanggungjawab untuk mendaftar undi pada awal usia, selain mempunyai kesedaran atas kewajipan mendaftar sebagai pemilih untuk kesejahteraan negara.

“Inisiatif seumpama ini memberi kemudahan kepada pengunjung untuk membuat semakan, malah mengetahui lebih lanjut bagi sebarang soalan kepada pihak yang berkaitan,” katanya.


NABILA Razali bermesra bersama peminat.

Bagi Wan Mohd Zaropi Wan Ismail, 36, golongan belia perlu datang ke Zon Throwback Tunnel #Gegaria sebagai sebahagian daripada aktiviti di festival berkenaan.

Katanya, zon yang dibuka sejak jam 10 pagi tadi itu memaparkan mesej bagaimana golongan belia perlu menghargai kemajuan dikecapi negara ketika ini, selain menyaksikan kejayaan negara sejak tahun 50-an hingga kini.

“Walaupun sasaran ditumpukan kepada golongan belia, namun kebanyakan program secara percuma ini terbuka kepada semua penduduk di negeri ini,” katanya yang menetap di Tampoi, di sini.

Katanya, koleksi foto yang menarik secara tidak langsung memberinya gambaran mengenai pejuang kemerdekaan terdahulu, sekali gus dapat menceritakan semula kepada kedua-dua anaknya berusia tiga dan lima tahun.


KANAK-KANAK mencuba permainan elektronik di gerai MyGameOn eSPorts.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 5:52 AM