BERNAMA

Melaka: Seorang lelaki warga Filipina dipenjara enam bulan dan seorang lagi rakan senegaranya didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini semalam, selepas masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan berbeza.

Dalam kes pertama, Abdullah Hawaji, 50, didakwa memiliki MyKad palsu atas nama Mohilin Ali dengan nombor kad pengenalan 670520-12-5767 beralamat Kampung Pancuran, Lahad Datu, Sabah. Majistret Lee Kim Keat yang mendengar kes itu memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 27 Januari lalu.


Abdullah dipenjara enam bulan.

Di satu lagi Mahkamah Majistret, Umar Baco, 51, dituduh memiliki resit laporan kehilangan kad pengenalan palsu atas nama Umar Baco, nombor kad pengenalan 580501-12-5295 beralamat Kampung Air, Semporna, Sabah.

Majistret Mohd Firdaus Salleh yang menjatuhi hukuman denda RM5,000 turut memutuskan hukuman penjara lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda terbabit.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam kawasan Tangga Batu pada 27 Januari lalu menurut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Umar didenda RM5,000 selepas mengaku salah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 6:46 AM