Ahmad Zahid ketika meninjau kesiapsiagaan Latihan Amal Anti Keganasan sempena penganjuran World Urban Forum (WUF) ke-9 di pekarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia bersedia berdepan ancaman keselamatan sempena penganjuran World Urban Forum (WUF) Ke-9 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 13 Februari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,2,700 anggota keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditugaskan sepanjang berlangsungnya forum bertaraf antarabangsa itu.

Katanya, kawalan maksimum diperlukan berikutan 25,000 delegasi terbabit dalam forum tujuh hari itu.

“Lebih 50 peratus atau 12,500 peserta delegasi dari 194 negara.

“Jadi kami memandang serius soal keselamatan sepanjang forum berlangsung,” katanya dalam sidang media selepas meninjau kesiapsiagaan Latihan Amal Anti Keganasan sempena penganjuran World Urban Forum (WUF) Ke-9 di pekarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pagi semalam.

Hadir sama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Ahmad Zahid berkata, selain kawalan di lokasi forum, pihaknya mengetatkan kawalan di pintu masuk utama negara seperti di lapangan terbang selain kawasan penginapan delegasi.

Katanya, beliau yakin kadar sifar kejadian ancaman keselamatan dicapai sepanjang forum berlangsung.

“Kawalan merangkumi semua, bermula dari kawasan ketibaan (lapangan terbang), lokasi forum hinggalah kawalan di kawasan penginapan mereka.

“Kami percaya mencapai sifar kemalangan (termasuk ancaman keselamatan) jika mengambil kira kejayaan penganjuran program bertaraf antarabangsa yang diadakan di negara ini seperti Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 4:46 AM