PEKERJA membuat persiapan sempena Festival GegaRia. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Amanina Suhaini
bhjb@bh.com.my


FESTIVAL GegaRia yang berlangsung esok di Angsana Johor Bahru Mall, dekat Johor Bahru, menampilkan pelbagai aktiviti menarik buat seisi keluarga dan generasi muda seawal 8 pagi hingga 11 malam.

Koordinator program merangkap Pengurus Pengiklanan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Mohd Anis Abdullah berkata, festival anjuran Media Prima Berhad itu akan menyediakan aktiviti bertemakan kenegaraan, kemasyarakatan, kekeluargaan, kecergasan dan hiburan yang pasti menepati cita rasa pengunjung.

Katanya, aktiviti tarian kecergasan zumba yang diketuai jurulatih, Hanif Shawn, pada 8.30 pagi, selain kemeriahan festival turut diserikan dengan aktiviti permainan buih gergasi sepanjang hari yang bersesuaian bagi kanak-kanak.

"Acara jalanan juga menanti pengunjung termasuk sukan rakyat antaranya congkak gergasi, baling selipar, teng teng dan takraw bulat yang bertujuan mempromosikan sukan tradisional masyarakat terdahulu.

"Bagi aktiviti kenegaraan, Zon ‘Throwback Tunnel’ #Gegaria mulai 10 pagi ini, menjadi satu platform kepada golongan belia untuk menyertai dan menyelami sejarah pembangunan negara dengan kejayaan gemilang setiap dekad, selain koleksi foto yang pasti membangkitkan nostalgia.

"Inisiatif itu secara tidak langsung memberi sokongan menerusi perkongsian mengenai kemajuan negara, sekali gus memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan penghargaan terhadap pejuang kemerdekaan.

"Tidak ketinggalan, bagi hiburan yang lebih santai pengunjung boleh mengikuti tutorial mekap bersama Dr Putri Shameen Hashim, klinik imej bersama Noorish Al Qayyum, manakala Jinnyboy dan Reuben pula akan berkongsi pengalaman mengenai tanggungjawab ketika berinteraksi di media sosial, bermula 12 tengah hari," katanya.

Mohd Anis berkata, festival GegaRia turut memberi kemudahan kepada pengunjung menerusi urusan pembelian secara tunai dengan menggunakan aplikasi e-bayaran, Boost Apps.

Katanya, pengunjung akan mendapat nilai kredit RM10 secara percuma dengan memuat turun aplikasi menerusi telefon pintar seterusnya hanya perlu mengimbas kod QR di gerai jualan.

Malah, pengunjung yang memuat turun boleh menebus bertih jagung di kiosk Boost.

"Selain itu, pelbagai kemudahan lain yang disediakan termasuk ruangan parkir di perkarangan parkir berhadapan Angsana Johor Bahru Mall, tempat membeli-belah dan kedai makan," katanya.

Festival GegaRia menampilkan lima zon kontena iaitu Zon Makan-Makan #Gegaria, Zon Throwback Tunnel #Gegaria, Zon Gaya Hidup #Gegaria, Zon Komuniti #Gegaria, dan Zon Hiburan #Gegaria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 3:44 PM