ZAINUDIN menunjukkan sebahagian barang yang dirampas.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Port Dickson: Terdesak mencari wang untuk membayar hutang along dipercayai menjadi motif seorang lelaki memecah masuk 27 rumah di Taman Politeknik di sini, sejak tahun lalu.

Kegiatan jenayah suspek berusia 38 tahun itu terbongkar hasil penahanannya dalam Op Pintu Taman Politeknik yang dilakukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, seramai 11 pegawai dan anggota menjalankan operasi membendung kes pecah rumah di taman perumahan itu sejak 23 Januari lalu.

“Hasil risikan dan intipan yang dilakukan membawa kepada penahanan suspek di kawasan parkir Pangsapuri Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, jam 12 tengah malam, 30 Januari lalu.


KENDERAAN digunakan suspek dalam kes samun di sekitar Port Dickson.

“Suspek menyasarkan rumah pelajar dan perbuatan itu dilakukan antara jam 3 hingga 8 pagi ketika penghuni tidur. Suspek terbabit dalam 27 kes membabitkan kerugian RM40,000,” katanya pada sidang media di IPD Port Dickson, semalam.

Katanya, siasatan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Susulan penahanan suspek itu, Zainudin berkata, pihaknya menahan pasangan suami isteri warga Bangladesh berusia 36 dan 34 tahun yang dipercayai pembeli barangan curi terbabit.

Katanya, pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Pandan Indah, Selangor, pada jam 10 malam hari sama.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:52 AM