KEADAAN motosikal dinaiki mangsa yang remuk akibat nahas di Kampung Terachi, semalam.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Dua penunggang motosikal nyaris maut selepas bertembung dengan sebuah teksi di Kilometer 26, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kampung Terachi, semalam.

Kejadian berlaku jam 8.30 pagi membabitkan dua motosikal Yamaha 125Z dan sebuah teksi Proton Wira.

Mangsa, Mohammad Haziq Khalid, 23, yang juga penunggang motosikal, cedera di kaki dan tangan manakala seorang lagi Mohamad Rozaidi Shaharuddin, 20, cedera di kaki kiri.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan lanjut manakala pemandu teksi, Mohd Noradha Abdul Halim, 33, bersama isteri dan anaknya tidak mengalami kecederaan.


ANGGOTA perubatan mengangkat mangsa yang cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Haslah Bachok berkata, siasatan mendapati, ketiga-tiga kenderaan bergerak pada arah sama iaitu dari Seremban ke Kuala Pilah.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu teksi dipercayai mahu berhenti di kedai buah-buahan di seberang jalan.

“Pemandu teksi menyalakan lampu isyarat membelok namun secara tiba-tiba dua motosikal dari belakang merempuh bahagian pemandu. Akibatnya, kedua-dua penunggang tercampak,” katanya sambil memaklumkan kedua-dua mangsa dirawat di zon kuning hospital terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:48 AM