ANGGOTA PERHILITAN mengangkat bangkai tapir.
HM Digital

Raub: Seekor tapir jantan ditemui mati dilanggar kenderaan yang melalui Jalan Budu-Dong, dekat Kampung Tualang Padang di sini, kelmarin.

Haiwan terancam dianggarkan seberat 250 kilogram (kg) dipercayai melintas jalan itu dan dilanggar kenderaan terbabit.

Kejadian itu hanya disedari penduduk jam 1.50 tengah hari ketika melalui jalan berkenaan lalu menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN).

Difahamkan, jalan itu jarang dilalui penduduk berikutan terpencil dan jauh dari penempatan.

Seramai tujuh kakitangan PERHILITAN dari Raub dan Lipis ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan bangkai haiwan yang mempunyai nama saintifik Tapirus indicus.

Pengarah PERHILITAN Pahang Ahmad Azhar Mohammed berkata, berdasarkan pemeriksaan haiwan itu dipercayai dilanggar malam Selasa atau awal pagi Rabu.

Katanya, tapir itu cedera di muncung, kepala dan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:02 AM