Anggota perubatan HQE 2 memberi rawatan awal kepada mangsa di lokasi kejadian. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


PELANCONG lelaki warga China maut apabila dirempuh kereta ketika menyeberang jalan di Jalan Pasir berhampiran Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, jam 10.50 pagi tadi.

Mangsa Lyu Xueqi, 67, yang parah di kepala lalu dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) sebelum disahkan meninggal dunia jam 3.07 petang oleh pegawai perubatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kereta jenis Naza Sutera dipandu seorang lelaki, 30, dari arah Luyang menuju ke Kompleks Beli-Belah 1Borneo.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu melanggar mangsa yang dari arah sebelah kanan pembahagi jalan selepas gagal mengelak kerana jarak yang terlalu dekat.

"Akibat rempuhan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke HQE 2 menggunakan kenderaan ambulans," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, selepas menerima rawatan hampir empat jam, pegawai perubatan HQE 2 mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Inspektor Chong Chee Wah di talian 0163032030.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 10:25 PM