MAYAT mangsa bersebelahan pikap yang dipandunya selepas terlanggar motosikal dan pokok tumbang di Kampung Kolam, Mukim Pering, Kodiang pagi tadi. FOTO Ihsan Mohamad Ayman Joshua
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PENJUAL ayam maut selepas kenderaan pikap dipandunya melanggar motosikal dan pokok tumbang di Jalan Kampung Kolam, Mukim Pering, Padang Sera, Jitra, hari ini.Mohamad Aizuddin Aziz, 26, dari Batu 43/4 Jalan Changlun, Kodiang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala wanita penunggang motosikal itu hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan mendapati pada mulanya kemalangan membabitkan penunggang motosikal, Ku Jam Ku Jale, 59, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru Batu 4 Jalan Changlun untuk bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan Si Puteh pada 6 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di Kampung Kolam, motosikal yang ditunggang mangsa terlanggar pokok tumbang dan terjatuh.

"Mangsa kemudian bangun ke tepi jalan untuk meminta bantuan orang kampung untuk mengalihkan motosikalnya yang tersangkut pada dahan pokok.

"Pada masa kejadian keadaan jalan sangat gelap dan tiba-tiba datang sebuah pikap dari arah yang sama lalu melanggar motosikal dan pokok yang tumbang.

"Akibat kejadian itu, pemandu pikap itu meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpang hadapan, Rosli Nan, 52, cedera ringan," katanya.

Mohd Ismail berkata, Rosli kemudian dibawa ke Hospital Jitra (HJ) untuk rawatan, manakala mayat Mohd Aizuddin kemudian dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 7:49 PM