Fazlisyam (tengah) bersama pegawai menunjukkan salinan gambar barang kes pecah rumah warga asing dan kes samun di Kemaman dan Marang semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


POLIS Terengganu berjaya menyelesaikan beberapa kes samun berkumpulan, pecah rumah dan curi kenderaan di Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu dengan menahan 20 suspek termasuk dua wanita dan pelajar sekolah menengah sejak awal Januari lalu.

Semua ditahan berusia antara 14 hingga 47 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, pihaknya menahan seramai 13 suspek termasuk seorang wanita berusia antara 14 hingga 25 tahun di Kemaman membabitkan dua kumpulan dipercayai aktif menjalankan samun terhadap warga Myanmar dan Indonesia.

Menurutnya, semua suspek daripada Geng Shahrul dan Acik itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Kemaman antara Sabtu hingga Isnin lalu.

"Kumpulan itu yang turut membabitkan sembilan penjenayah juvana aktif dengan modus operandi memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis menjadikan penginapan warga asing termasuk rumah kongsi sebagai sasaran.

"Mereka memaksa mangsa menurut arahan untuk diperiksa sebelum melarikan barangan berharga," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas senjata seperti parang, kayu, buku lima dan dua kenderaan, telefon bimbit serta 14 keping mata wang asing.

Katanya, semua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 357/359 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, kami juga berjaya menahan lima suspek yang menggelarkan mereka sebagai Geng Anak Jin berusia antara 16 hingga 47 tahun selepas dipercayai aktif menjalankan jenayah pecah rumah di sekitar Marang.

"Suspek terbabit termasuk seorang wanita berusia 23 tahun ditahan antara 19 Disember hingga 4 Januari lalu di sekitar daerah itu.

"Ketua kumpulan terbabit yang berusia 47 tahun memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati empat daripada mereka juga positif dadah jenis metamphetamine," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dipercayai terbabit dalam sembilan kes pecah rumah di Marang dan satu kes di Kuala Terengganu.

Dalam satu lagi kes, Fazlisyam berkata, sepasang kekasih masing-masing berusia 29 tahun ditahan ketika cuba melarikan kenderaan Honda BRV selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Padang Mengkuang, Marang.

Menurutnya, pasangan itu ditahan di kawasan Besut pada 1 tengah hari semalam selepas pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 11.51 pagi hari yang sama.

"Ketika ditahan pasangan terbabit dalam perjalanan ke arah Kelantan dan turut membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dipercayai anak kepada suspek wanita," katanya.

"Pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 7:07 PM