Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


SUSPEK utama dikehendaki polis berhubung kes samun dan bunuh Juruteknologi Pergigian Mahusin Abd Rahim, 28, dicekup di Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, suspek berusia 20-an ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan pada 9 malam.

Menurutnya, pihak polis turut merampas motosikal Yamaha Y152ZR dan sebuah topi keledar milik mangsa yang berada dalam simpanan suspek.

Katanya, sehari selepas kejadian berlaku, suspek dikesan berada di sebuah restoran makanan segera di Nong Chik, Johor Bahru.

"Siasatan juga mendapati lelaki itu turut menggunakan kad kredit milik mangsa dan tidak mengubah nombor pendaftaran motosikal itu," katanya.

Laporan Portal Harian Metro, semalam.

Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Khas Reman, Seremban pada pagi ini untuk mendapatkan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Harian Metro pada 23 Januari lalu melaporkan Mahusin ditemui mati selepas 72 jam kehilangannya dan mayat ditemui terbaring di rumah di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut.

Bedah siasat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban mengesahkan mangsa dibunuh akibat hentakan benda keras di kepala.

Berita berkaitan

Motosikal si mati ada pada suspek

[UPDATE] Kepala dihentak dengan benda keras

Mayat juruteknik pergigian ditemui selepas 72 jam [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 10:38 AM