Hasrul Nizal memapah isterinya yang pengsan selepas melihat jenazah anaknya buat kali terakhir. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas ketika mandi bersama keluarganya di sebuah taman tema air, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa, Hafidh Dhabit Hasrul Nizal dari Kampung Meribut, Kodiang, datang bersama ibu bapa, kakak dan ahli keluarga kakitangan Jabatan Perancang Bandar Dan Desa, Zon Utara sempena Hari Keluarga di taman tema air itu.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang mandi di kolam sedalam 1.2 meter bersama kakaknya sementara yang lain mandi di kolam dewasa sebelum tiba-tiba mangsa tenggelam dan disedari kakaknya.

Bapanya, Hasrul Nizal Che Hassan, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang mendaftar ahli keluarga yang datang apabila tiba-tiba rakannya memberitahu anaknya hilang di kolam.

"Saya dan rakan mencari Hafidh sebelum ditemui di dasar kolam. Hafidh segera dibawa naik dan rakan ada membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun gagal.

"Hafidh kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), namun anak saya disahkan meninggal dunia oleh doktor," katanya.

Suasana di Jabatan Forensik HSAH pilu apabila ibu mangsa berusia 30-an pengsan ketika dibawa melihat jenazah anak bongsunya buat kali terakhir menyebabkan dia terpaksa diusung suami dan ahli keluarga lain sebelum beredar beberapa minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 1.55 tengah hari.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 6:52 PM