Mustapa membantu menjual keperluan dapur kepada pembeli selepas melancarkan program Jualan Sentuhan Rakyat KPDNKK. FOTO Mohamed Sahidi Yusoff
BERNAMA

UMNO Kelantan menyifatkan dakwaan wujud kerjasama antara UMNO dan Parti Amanah Negara (PAN) bagi menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya spekulasi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tuduhan tidak berasas itu sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pemimpin politik apabila menjelangnya pilihan raya.

“Tidak timbul kita berpakat dengan PAS atau PAN untuk menjatuhkan mana-mana parti politik di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat peringkat Parlimen Jeli hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal berita berkaitan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai kerjasama antara PAN dan UMNO di Kelantan untuk menjatuhkan PAS pada PRU-14.

Mustapa menjelaskan tidak pernah berjumpa sama ada pemimpin PAS atau PAN untuk berbincang bagi mewujudkan pakatan untuk tumbangkan mana-mana parti.

“Apa yang penting kita (UMNO) tidak berkongsi dengan sesiapa, kita buat kerja dan dari dulu hingga sekarang, kita akan lawan siapa sahaja yang menentang kita,” katanya.

​​​​​​​Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Program Jualan Sentuhan Rakyat yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat untuk meringankan beban perbelanjaan terutama membabitkan barangan keperluan asas.

“Program ini adalah hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) bagi membantu rakyat mengurangkan beban perbelanjaan harian kerana melalui program seperti ini kehendak rakyat akan terbela,” katanya.

Beliau melihat rakyat gembira dengan penganjuran program seperti itu dan berharap ia dapat dilaksanakan secara berterusan serta diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar.

Melalui program tersebut barangan keperluan harian seperti ayam, daging, ikan dan minyak masak dijual pada harga yang lebih rendah berbanding pasar raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 3:52 PM