ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam nahas di Jalan Jerangau-Jabur, semalam.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Kemaman: “Tiba-tiba saja saya rasa tak sedap hati lalu segera menghubungi ibu dan luluh hati apabila adik lelaki menjawab mereka kemalangan dan ibu pula nazak,” kata Siti Noraida Abu Seman, 33, selepas ibu dan adik perempuannya maut dalam kemalangan di Kilometer 122, Jalan Jerangau-Jabur dekat Padang Kubu di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 12 tengah hari itu, Norhayati Ali, 55, dan anak perempuannya, Nur Dini Syaqirah Abu Seman, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak lelaki Norhayati, Mohd Shahrul Aiman, 23, yang memandu Proton Iswara serta seorang cucunya berusia empat tahun bagaimanapun hanya cedera dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Mohd Shahrul dipercayai terbabas ke laluan kanan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Pemandu Toyota Hilux bersama tiga penumpangnya turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

Siti Noraida yang tinggal di Felda Kerteh 2, Dungun berkata, ibu dan dua adik serta anak saudaranya itu yang tinggal di Melor, Kelantan dalam perjalanan ke Kuantan.

“Ibu ada menghubungi saya kelmarin memaklumkan mahu ke Kuantan, tetapi tidak sempat singgah di rumah saya di Dungun kerana perlu segera pulang ke Kota Bharu.

“Mereka ke Kuantan untuk membeli peralatan perkahwinan Mohd Shahrul yang akan bernikah pada 15 Febuari ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Katanya, semalam, sepanjang hari, dia berasa tidak sedap hati dan beberapa kali menghubungi adiknya itu, namun tidak berjaya.

“Saya akhirnya menghubungi nombor ibu tetapi dijawab Mohd Shahrul dan saya terkejut apabila dimaklumkan mereka kemalangan sebelum saya terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Patutlah hati saya tidak sedap, rupanya itu petanda ibu dan adik terbabit kemalangan, namun apa boleh buat, saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superitenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat manakala semua mangsa yang cedera juga dikejarkan ke hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 1:41 AM