Suffian (tengah) bersama pegawai menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Riduan Ambak
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan cubaan mengedar dadah dengan memberkas dua lelaki berusia 47 dan 36 tahun dalam dua serbuan berasingan di Kampung Pulau Rusa dan Kepong, Kuala Terengganu, semalam.

Tangkapan terbabit membawa kepada penemuan heroin, pil kuda, syabu dan ubat batuk yang bernilai RM12,000 dan wang tunai RM14,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, serbuan pertama dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu pada 11.50 pagi, Ahad lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas lima botol heroin bernilai RM2,000 yang disorok di seluar dalam dan poket seluar jeans yang dipakai suspek berusia 47 tahun.

"Tiga botol dadah yang dibungkus dengan kertas surat khabar itu ditemui dalam poket seluar jeans yang dipakai manakala dua lagi disorok di seluar dalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, suspek yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah kira-kira setahun lalu ditahan reman selama satu minggu bermula semalam hingga Ahad ini.

Suffian berkata, serbuan kedua oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuala Terengganu pada 5 petang semalam berjaya merampas sebanyak lima botol ubat batuk yang dianggarkan sebanyak 1,500 mililiter (ml), 800 biji pil kuda dan dua paket syabu seberat 87.87 gram yang keseluruhannya bernilai RM12,000.

Katanya, ketika serbuan, suspek berusia 36 tahun itu berada di tingkat atas rumah keluarganya di Kampung Kepong, Kuala Terengganu.

"Soal siasat terhadap suspek terbabit, polis menemui dua paket syabu, 800 pil kuda dan lima botol cecair hitam dipercayai ubat batuk yang disembunyikan dalam van, kereta dan motosikal yang berada di rumah.

"Cecair disyaki ubat batuk itu ditemui di lantai van bahagian tempat duduk pemandu, syabu dan pil kuda disorok dalam kulit pintu dan penutup minyak van berkenaan.

"Pemeriksaan dalam van berkenaan turut menemui wang tunai sebanyak RM12,000 yang dipercayai hasil menjual dadah.

"Suspek direman selama seminggu bermula hari ini hingga Isnin," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 6:46 PM