MOHD Rawi (kiri) menunjukkan kenderaan milik Jason (kanan) yang disimbah asid, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


BAHAGIAN kiri kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage milik seorang ahli perniagaan disimbah asid dalam kejadian di Taman Pelangi, Ipoh, Ahad lalu.

Mangsa Jason Cheng, 34, berkata pada hari kejadian dia bersama keluarga keluar rumah pada 8 pagi dan pulang ke rumah kira-kira tiga jam kemudian.

“Saya meletakkan kenderaan yang baru dibeli empat bulan lalu di luar pagar rumah, sebelum isteri menyedari sebelah kiri pintu tempat duduk penumpang serta bahagian hadapan disimbah asid,” katanya.

Jason berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, dia tidak membuat laporan polis kerana kejadian mungkin akibat dendam individu tertentu yang tidak berpuas hati dengan isterinya ketika memandu kenderaan itu hingga hampir mengakibatkan kemalangan.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila rakannya mendakwa turut mengalami nasib sama di Ipoh Timur dan Greentown selepas memuat naik mengenai kejadian itu di laman sosial.

“Saya mengesyaki mungkin kejadian (menyimbah asid) dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu untuk kepentingan perniagaan bagi mendapatkan pelanggan terutama menjelang Tahun Baru Cina.

“Kos untuk membaiki cat kenderaan berjumlah kira-kira RM1,500 bagi membaiki semula lapisan cat yang rosak akibat disimbah asid,” katanya.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya menerima 10 aduan berhubung kejadian terbabit sejak 10 Oktober tahun lalu.

“Bagaimanapun, semua kejadian itu membabitkan kenderaan yang disimbah cat, manakala kejadian disimbah asid adalah pertama kali berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan pihaknya menerima dua laporan mengenai kejadian kenderaan disimbah asid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 5:28 PM