ZAINUDIN menunjukkan gambar lelaki dikehendaki polis. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


LELAKI dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kematian Juruteknik Pergigian, Mahusin Abd Rahim, 28 yang ditemui di rumahnya di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, suspek berusia 20-an kali terakhir dikesan berada di restoran makanan segera di Nong Chik, Johor Bahru pada minggu lalu.

Katanya, siasatan mendapati motosikal Yamaha 152ZR dan topi keledar milik mangsa turut berada bersama lelaki terbabit.

"Berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek membawa motosikal dan topi keledar mangsa ke restoran berkenaan. Kita percaya lelaki itu individu penting bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, hari ini.

Zainudin meminta orang ramai yang mengenali lelaki itu menghubungi balai polis terdekat atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau 019-3642929.

"Pihak kami berharap supaya mereka yang mengenali lelaki itu memaklumkan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Harian Metro pada 23 Januari lalu melaporkan Mahusin ditemui mati di rumahnya selepas 72 jam kelibatnya tidak kelihatan.

Hasil bedah siasat ke atas mayat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban mengesahkan mangsa dibunuh akibat hentakan benda keras di kepala. Mayat sebelum itu ditemui di rumahnya dalam keadaan terlentang.

Berita berkaitan

Mayat juruteknik pergigian ditemui selepas 72 jam [METROTV]

[UPDATE] Kepala dihentak dengan benda keras

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 3:48 PM