ANGGOTA polis membawa tiga tertuduh yang didakwa atas dua pertuduhan mengedar heroin di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


TIGA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini terhadap dua pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat kira-kira 5.8 kilogram (kg) pada 17 Januari lalu.

Tertuduh S Devasivavasharman, 22, P Muniswaran, 44, dan G Kalaiyarasan, 47, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis heroin seberat 2.67 kg di No 577A, Jalan Jelapang, Ipoh pada 12.30 tengah hari 17 Januari lalu.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama mengedar heroin seberat 3.19 kg di alamat, tarikh dan masa yang sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistina Qamarul Abrar, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Charan Singh dan Jagdave Singh.

Kesemua tertuduh tidak dibenarkan jamin dan Nurul Hafizah menetapkan 28 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 3:42 PM