Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


BOOST, aplikasi dompet mudah alih inovatif berjaya mencatatkan lebih 800,000 pengguna dan memiliki rakan niaga konvensional dan atas talian di 5,500 lokasi sejak dilancarkan pada Januari 2017 .

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christopher Tiffin berkata, aplikasi itu menawarkan perkhidmatan tambah nilai prabayar dan baucer digital pada peringkat awal sebelum diperluaskan kepada pelbagai segmen termasuk pembelian di pasar malam dan industri makanan dan minuman (F&B), hiburan, pengangkutan dan lain-lain.

"Kami sangat teruja untuk membawa pengalaman digital yang lancar dan selamat kepada rakyat Malaysia melalui telefon pintar masing-masing," katanya pada taklimat media Boost hari ini.

Boost adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan secara tempatan bagi memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk membayar, menghantar, meminta dan menyimpan wang dalam telefon pintar.


Aplikasi dompet mudah alih, Boost memberikan pengalaman pembelian digital kepada pengguna. FOTO Rosela Ismail

Sementara itu, Boost melancarkan kempen ‘Paint The Town Red' bersempena sambutan Tahun Baru Cina di mana pengguna boleh mengimbas kod QR merah di semua tempat rakan niaga atas talian dan konvensional di seluruh negara bagi transaksi harian masing-masing.

Beliau berkata, Boost akan memperkenalkan beberapa ciri baru yang akan menawarkan 'Ang Pau' bermula 30 Januari hingga 28 Februari 2018.

"Individu yang akan menerima 'Ang Pau' adalah mereka yang melakukan pembayaran dengan Boost di cawangan fizikal dan atas talian, membeli baucer digital, tambah nilai prabayar dan pembayaran bil prabayar Celcom," katanya.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Boost daripada Play Store untuk Android dan App Store (IOS) dan mereka juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Boost di laman web www.myboost.com.my atau laman Facebook dan Instagram dengan carian myboostapp dan Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 8:18 PM