Bot nelayan yang ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


ENAM nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati melanggar syarat sah lesen memukat di kira-kira tiga batu nautika, laut Tanjung Nosong, Kuala Penyu, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, bot nelayan tempatan yang dinaiki enam individu termasuk seorang tekong berusia antara 20 hingga 45 tahun itu ditahan selepas dilihat menunda pukat dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, bot nelayan itu ditahan ketika kapal peronda KM Bistari yang ditugaskan membuat rondaan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, nelayan itu melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan kurang daripada enam batu nautika dari kawasan pantai.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati, dianggarkan lebih 500 kilogram pelbagai jenis ikan ditemui di dalam bot itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Che Adnan, nelayan terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(b).

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan, semua pengusaha bot nelayan harus mematuhi undang-undang dan tidak melanggar sebarang syarat yang termaktub dalam sistem.

"Saya mahu mengingatkan semua pengusaha bot tidak mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan nasib komuniti nelayan pesisir pantai.

"Tindakan menunda pukat sedemikian boleh menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai selain merosakkan ekosistem pembiakan ikan di kawasan itu," katanya.

Katanya, APMM sentiasa mengambil berat sebarang aduan yang diterima dan memantau aktiviti bot nelayan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang mengambil peluang untuk menceroboh kawasan zon menangkap ikan atau kesalahan lain yang menyalahi syarat sah lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 4:52 PM