JALALUDDIN merasmikan Kempen 3R Negeri Sembilan di Pejabat Operasi SWM Environment Sdn Bhd di Oakland, di sini, semalam. FOTO Adzlan Sidek
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


KERAJAAN Negeri Sembilan mensasarkan kutipan 100 tan barangan terpakai bagi suku pertama tahun ini menerusi Kempen 3R Pakaian Terpakai yang dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, bermula awal bulan ini kempen dianjurkan bertujuan mengajak penduduk mengitar semula barangan seperti pakaian, beg, cadar, kasut, selimut dan sebagainya.

Katanya, fabrik seperti itu dibuang begitu saja sebelum ini sedangkan ia boleh dikitar semula.

"Penduduk hanya perlu mengasing dan membungkus barangan dengan meletakkan di hadapan rumah. Kemudian, pekerja SWM Environment Sdn Bhd akan menjalankan kutipan mengikut jadual ditetapkan," katanya pada sidang media sempena kempen itu di Pejabat Operasi SWM Environment di Oakland, Seremban, hari ini.

Hadir sama Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Zainal Fitri Ahmad dan Pengurus Wilayah SWM Environment Negeri Sembilan/Melaka, Dr Al' Ashari Othman.

Jalaluddin berkata, semua barangan akan diletakkan di Pusat Pengumpulan 3R SWM, sama ada diberi kepada golongan memerlukan, mencipta produk baru atau dijadikan bahan bakar.

Dalam perkembangan sama katanya, kerajaan negeri komited memupuk amalan kitar semula di negeri ini.

"Setakat ini kesedaran kitar semula mencapai 20.9 peratus dan kebanyakan dilakukan penduduk bandar. Pelbagai usaha dibuat untuk menyedarkan keseluruhan rakyat dan kita meletakkan sasaran 30 peratus menjelang 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 4:23 PM