Wang tunai yang dirampas daripada lima lelaki warga Thailand (gambar kecil) dalam serbuan di sebuah hotel di Batu Pahat, malam semalam. FOTO Ihsan PDRM
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


LIMA lelaki warga Thailand dipercayai ahli sindiket mengutip derma ditahan dalam Operasi Tabung oleh pihak berkuasa di sebuah hotel di Jalan Sultanah, Batu Pahat, malam semalam.

Dalam serbuan pada 11.40 malam, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Daerah Batu Pahat dan pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,800 dipercayai hasil kutipan derma.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 30 tahun itu dikesan menjalankan kutipan derma sejak Januari lalu.

Menurutnya, pasukan serbuan terdiri daripada Kadi Daerah Batu Pahat Muhammad Husin Tamrin Md Sharif bersama Ketua Balai Polis Batu Pahat Inspektor Mohd Rodzi Abdullah memeriksa sebuah bilik di hotel itu.

“Hasil pemeriksaan, mereka menahan lima lelaki warga Thailand yang berada dalam bilik terbabit bersama tabung dan duit kutipan derma sebanyak RM3,800.

“Siasatan awal mendapati sasaran mereka ialah orang ramai yang sedang menikmati makan malam di restoran, kedai makan dan kaki lima institusi kewangan di Jalan Rahmat, Jalan Sultanah, Jalan Omar dan pasar Batu Pahat,” katanya.

Katanya, siasatan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Johor (EPAINJ) 2003.

“Saya menyeru orang ramai supaya berhati-hati untuk menderma dan tidak bersimpati dengan pengutip derma seumpama itu kerana dipercayai dana terbabit untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 10:29 AM